“Morning mama, morning papa,” ujarku sambil mencium tangan kedua orang tua tersayang. Saja Armand ingin menjenguk kedua orang tuanya sebelum ke pejabat. Lagipun jarak antara pejabat dan rumah orang tuanya tidaklah terlalu jauh sekaligus ingin memberikan buah tangan yang dibuat oleh isterinya pagi tadi. Tekun Armand Mukhriz melihat isterinya menyiapkan sarapan nasi lemak untuk dirinya serta membekalkan sedikit untuk diberikan kepada keluarga mentua. Armand akur dengan kehendak isterinya walaupun dia tahu akan sikap mamanya yang masih belum dapat menerima kehadiran Nur Aina Melissa sebagai suri hatinya.
“Morning Armand. Rajin kau datang ke sini. Tidak kerjakah hari ini?” jawab papa sambil menyambut huluran salamku.
“Kerja pa. Man singgah kejap je ni. Lagipun Aina kirim nasi lemak ni untuk sarapan mama dan papa. Kebetulan Aina buat banyak, jadi nak bagi papa dan mama rasa sikit.”
“Hmm. Rajin pulak isteri kau. Tak mengapalah. Letak je atas meja tu. Mama dan papa dah kenyang makan roti canai tadi. Kucing-kucing kat luar tu pun nampak macam lapar je. Bolehlah mama bagi nasi lemak isteri kau tu dekat kucing-kucing tu”.
“Fatimah, kenapa cakap begitu pada Armand? Kalau dengar isterinya nanti, merajuk pulak dia. Sampaikan salam papa pada Aina ye Man. Susah-susah je sediakan semua ni. Hah, kenapa kau tak bawa dia sekali? Lama papa tak jumpa dengan isteri kamu.”
“InsyaAllah pa. Nanti Man bawa Aina datang sini. Lagipun kebelakangan ni Man dan Aina sibuk sikit. Banyak kerja dekat pejabat tu. Aina pulak sibuk dengan kerja dia sebagai pensyarah. Baiklah papa, mama. Man pergi kerja dulu.”
“Hmm. Hati-hati pandu kereta,” pesan mama dan papa serentak.
***************************************************************************
“Hei, buta ke? Lain kali jalan tu pandang depan. Mata letak dekat lutut ke?” sergah Armand apabila geram melihat baju yang baru dipakainya kotor akibat terkena kuah asam pedas.
“Err. Maafkan saya. Saya betul-betul tidak sengaja. Semua salah saya. Saya terlalu asyik bergurau sehingga tidak memandang ke depan semasa berjalan. Saya sanggup ganti semula makanan awak ni,” ujar Aina ketakutan.
“Aina. Cepatlah. Nanti lambat pula ke kelas,” laung Yasmin dari jauh.
“Err. Saya betul-betul minta maaf. Saya pergi dulu. Ini nombor telefon saya. Hubungi saya sekiranya awak inginkan ganti rugi. Assalamualaikum,” kataku sambil berlari mengejar Yasmin yang sudah jauh ke depan.
“Eh. Biar betul minah ni. Kalau nak diikutkan, tiada apa yang perlu diganti. Lagipun sikit sahaja kuah yang terkena pada bajunya. Makanannya juga tidak banyak yang tumpah. Salahku jugak sebab berjalan macam tak cukup tanah. Lapar punya pasal sampai tak sedar gadis di depan. Hmm. Mungkin dia juga tidak menyedari apa yang telah dilakukannya sebentar tadi. Aina. Nama yang cukup membuat jantungku bergetar saat melihat matanya walaupun hanya seketika,” senyumku sambil melihat kertas yang tertera nombor telefon gadis tersebut.
Setelah beberapa bulan bergelar kekasih rasmi kepada gadis tercinta Nur Aina Melissa, Armand tekad untuk menjadikan Aina sebagai suri hatinya. Armand yakin bahawa perkenalan yang singkat itu mampu memberi kebahagiaan kepadanya sepanjang hayat. Oleh itu, dia tidak menyesal menjadikan Aina sebagai isterinya.
***************************************************************************
“Kamu betul ke nak jadikan budak itu isteri kamu? Erin tu kamu nak letak mana? Mama ingat kamu betul-betul serius dengan Erin. Hari-hari berkepit dengan dia. Tiba-tiba kamu nak kahwin dengan orang lain pulak. Mama Erin tu dah anggap kamu tu macam anak dia sendiri. Sanggup ke kamu nak lukakan hati dia? Hati Erin? Kenapa anak yatim itu juga jadi pilihan??” Marah mama. Mama betul-betul tak sangka dengan keputusan aku. Aku dah agak perkara ini akan terjadi. Aku memandang muka papa meminta simpati tetapi papa hanya mendiamkan diri.
“Betul ma, Man serius dengan Aina. Man anggap Erin tu macam kawan Man je. Tak lebih daripada itu dan Man tahu yang Erin pun faham keadaan Man. Man nekad untuk jadikan Aina isteri Man. Man harap mama merestui keputusan Man,” pujukku bersungguh-sungguh. Setelah beberapa hari memujuk mama, akhirnya usahaku membuahkan hasil apabila mama menyatakan persetujuannya untuk perkahwinan ini. Aku dan papa tersenyum syukur. Alhamdulillah, aku dan Aina selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz.
***************************************************************************
“Sayang, abang dah balik ni. Sayang kat mana?” laung Armand. Armand memejamkan matanya seketika di sofa bagi menghilangkan penatnya setelah seharian bekerja. Ramai sungguh klien yang ingin menemuinya hari ini. Armand memanggil lagi nama isterinya. Belaian manja daripada isterinya itu mampu menghilangkan segala kepenatan dan masalah yang membelenggu dirinya. Senyap. Armand pelik apabila panggilannya tidak bersahut. Segala pelosok rumah dicarinya namun hampa.
“Ish, mana pulak isteri aku ni? Selalunya jam begini sudah ada di rumah. Mungkin ke rumah jiran. Tapi tak mungkin. Jarang Aina keluar rumah tanpa izin aku. Kena culik ke?” Armand sudah mula risau. Sedang dia mencari Aina di luar rumah, baru dia teringat bahawa ada satu tempat yang belum dicarinya. Dapur. Bergegas Armand masuk ke rumahnya semula. “Macam manalah aku boleh tak terfikir nak cari Aina di dapur. Kesian isteri aku ni. Mesti penat tunggu aku untuk makan bersama,” keluh Armand sambil tersenyum melihat isterinya sudah nyenyak tidur di meja makan.
“Sayang, bangun. Abang dah balik ni. Kenapa sayang tidur di sini. Jom masuk bilik.” Perlahan-lahan aku mengusap pipinya yang mulus.
“Ok. Saya nak kamu hantar tugasan ni minggu depan. Siapa lambat, saya akan potong markah. Faham?”
“Aduh. Isteri aku ni. Mengigau ke? Rupa aku ada macam pelajar ke? Baik Pn Aina, saya akan hantar tugasan tu malam ni juga,” balasku sambil ketawa terkekek-kekek. Perangai isterinya yang sering bercakap sambil tidur ini sering sahaja membuat Armand tergelak. Memang mencuit hati.
***************************************************************************
Hari minggu memang hari yang sering ditunggu-tunggu oleh Armand dan Aina. Waktu ini sahaja mereka berpeluang untuk menghabiskan masa bersama-sama memandangkan hari lain mereka amat sibuk dengan kerjaya masing-masing. Armand bercadang untuk membawa Aina ke rumah keluarganya kerana sudah lama mereka tidak ke sana. Sekaligus cuba untuk menjernihkan hubungan di antara mamanya dengan Aina. Armand tahu, walaupun mamanya merestui perkahwinan tersebut tetapi tidak bermakna mama sudah menerima Aina sebagai menantunya.
“Assalamualaikum mama, papa. Mama dan papa sihat?” sapaku.
“Waalaikumsalam. Sihat Man. Eh, Aina pun ada. Marilah masuk. Mama ada kat dapur tu,” sahut papa. Aku melihat mama sudah menghadiahkan jelingan tajam kepada Aina.
“Hah, Man. Baru ingat nak balik sini. Mama ingat kau dah tak ingat kat kami lagi. Berkepit je dengan isteri kau tu. Tak rimas ke? Mengalahkan orang tengah bercinta. Geli aku.” Mama menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Punah harapannya untuk melihat Armand dan Erin disatukan. Papa pula menunjukkan riak tidak puas hati terhadap tindakan mama.
“Kami sibuk sikit ma. Hari ni baru berkesempatan nak melawat mama dan papa,” balasku sambil menghulurkan tangan. Namun huluran tangan daripada Aina tidak disambut. Aku hanya mampu memandang.
“Kau ni Aina, bila lagi nak bagi aku cucu? Dah 3 tahun kahwin takkan tak berisi lagi? Nak tunggu aku mati ke baru boleh bagi cucu?” Aina hanya mampu mendiamkan diri. Tidak wajar rasanya dia menjawab. Bukan dapat menjernihkan keadaan malah akan bertambah teruk. Bukan dia tidak faham perangai ibu mentuanya itu. Malah saban malam dia tidak lupa untuk berdoa agar ibu mentuanya itu dilembutkan hati.
“Kau tak kesian ke dekat Armand ni? Takkan nak hidup berdua je? Aku dari mula lagi tak berkenan dengan kau ni Aina. Kalau si Armand ni ikut nasihat aku dulu, kahwin dengan Erin, dah berderet agaknya anak dia. Bahagia. Bukan macam sekarang ni. Aku pun tak faham apa yang membuatkan anak aku ni terpikat sangat dengan kau,” sambung mama lagi. Puas rasanya dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Geram sungguh dia pada Aina. Kecantikan yang ada pada Aina tidak mampu membuatkannya untuk menyenangi gadis tersebut.
“Belum ada rezeki lagi ma,” hanya itu sahaja jawapan terbaik yang mampu diberikan Armand dan turut disertai dengan anggukan isterinya. Armand mengerti isterinya terluka dengan kata-kata yang dilemparkan mamanya.
Bukan mereka tidak pernah berusaha malah pelbagai cara telah dilakukan oleh mereka berdua untuk mendapatkan zuriat. Kadang-kadang terbit juga rasa cemburu di hati Armand apabila melihat adiknya yang terlebih dahulu melangsungkan perkahwinan sudah memperoleh cahaya mata walaupun anaknya mengalami penyakit sindrom down.
***************************************************************************
“Abang, apa kata kita pergi klinik. Mungkin ada jawapan di sebalik persoalan ini. Aina tahu, abang teringin melihat rumahtangga kita ceria dengan suara kanak-kanak. Aina pun sama bang. Aina rasa tidak salah kalau kita pergi klinik sekali lagi, ” pujuk Aina.
“Tapi, kita dah pergi Aina. Doktor pun cakap yang abang dan sayang normal. Tiada sebarang masalah untuk memperoleh zuriat. Mungkin belum rezeki kita agaknya. Bersabarlah.”
“Tak salah bang kalau kita mencuba sekali lagi. Aina dapat rasa mungkin ada sesuatu yang kita tak tahu. Please abang,” pujuk Aina lagi. Dia tidak tahu mengapa hatinya kuat untuk ke klinik tersebut.
Ternyata sangkaan Aina tepat. Armand memandangnya kosong. Jawapan terhadap apa yang membelenggu mereka berdua akhirnya terjawab. Rahim Aina dikatakan tidak kuat untuk menampung bayi. Hancur luluh hati Aina mendapat berita itu. Dia tidak boleh mengandung benih suaminya. Sedaya upaya dia menolak perkara tersebut tetapi hakikatnya itu adalah realiti yang harus ditempuhi. Aina dapat merasakan berita ini akan membuatkan ibu mentuanya semakin benci dengannya.
***************************************************************************
“Apa?? Kamu tak boleh mengandung?? Hah ! aku dah agak dah. Mesti ada yang tak kena dengan kamu ni. Armand, kau tengok sendiri. Isteri kau tak boleh mengandung. Patutlah aku berat hati nak kahwinkan kamu dengan perempuan ini. Kenapalah kamu tak ikut nasihat mama dulu, kahwin dengan Erin. Kamu degil. Dahlah adik kamu si Isya tu dapat anak sindrom down. Keturunan siapa entah dia ikut. Isteri kamu ni pulak tak boleh mengandung. Peninglah kepala mama macam ni. Mana mama nak letak muka dengan jiran-jiran sebelah ni ha?? Malu mama tahu tak?? Ish, keturunan mama tiadalah yang macam ni,” bentak mama. Geram sungguh dia mendengar khabar tersebut. Belum habis satu masalah, satu lagi masalah timbul. Entah apalah bala yang menimpa keluarganya. Tertekan sungguh dia memikirkan perkara itu dan akhirnya dia terjelepuk di atas lantai.
***************************************************************************
Sudah seminggu Pn Fatimah, mama Armand terlantar di hospital akibat strok. Seminggu itu jugalah Armand dan Aina bersama-sama menjaga mamanya tanpa jemu. Kesempatan itu juga digunakan Aina untuk mengambil hati mentuanya itu. Ternyata hati ibu mentuanya sungguh keras. Dia hanya menerima layanan daripada Armand dan papanya sahaja. Puas En Razman menasihatkan isterinya agar menerima sahaja ketentuan yang telah ditetapkan tetapi usaha itu hanya sia-sia. Pn Fatimah bukan seorang yang mudah termakan dengan pujuk rayu.
“Mama, jemput makan ma. Masa untuk makan tengahari. Aina suapkan mama ye. Lepas tu mama boleh makan ubat, rehat. Nanti cepat sembuh. Aina masakkan bubur istimewa untuk mama. Mama makan ye,” pujuk Aina walaupun dia tahu Pn Fatimah tidak akan melayannya.
“Kenapa kau masuk bilik aku?? Armand dengan laki aku mana?? Aku nak diaorang yang suapkan aku. Bukan kau. Aku tak suka tengok muka kau. Sebab kau lah aku jadi macam ni. Keluar !” herdik Pn Fatimah. Sudah seminggu dia dibenarkan pulang ke rumah, jarang sekali suami dan anaknya mengambil berat tentangnya. Hanya Aina yang setia berada di sisinya.
“Makanlah sikit mama. Abang ada urusan di pejabat, petang nanti baru dia tengok mama. Papa keluar sekejap. Ada hal katanya. Mama makan dulu ye. Aina suapkan. Nanti mama lapar,” pujuk Aina lagi sambil tangannya menyuakan sudu yang berisi bubur. Aina sudah biasa dengan layanan mentuanya itu. Walaupun pada mulanya agak berat hati untuk menjaga ibu mentuanya sendirian tapi alah bisa tegal biasa. Aina sudah lali dengan semua itu.
“Ahh, aku cakap tak nak, tak nak lah. Tak faham ke?? Masa aku sakit semua orang tinggalkan aku. Isya pun sama. Langsung tak jenguk aku. Kenapa kau tak tinggalkan aku ha?? Kau tak payah pura-pura simpati dengan aku. Keluar !”
Terkial-kial aku mengutip bubur yang berterabur atas lantai. Tidak sangka begitu sekali sikap ibu mentuanya itu. Belum sempat Aina meneruskan kata-katanya, tangan mentuanya terlebih dahulu menepis mangkuk yang penuh berisi bubur.
“Sabar Aina, sabar,” bisikku dalam hati sambil menyembunyikan air mata yang sudah sedia bergenang. Tiba-tiba tekaknya berasa mual. Terasa ingin mengeluarkan segala isi perutnya. Lantas dia bergegas ke bilik air. Esakan tangisan dan muntahnya berlumba-lumba mengeluarkan lagu.
***************************************************************************
“Alhamdulillah sayang, akhirnya doa kita dimakbulkan. Abang akan jadi ayah dan sayang akan jadi mama. Abang akan jaga sayang sebaik mungkin,” ucapku lantas memeluk Aina. Aina tersenyum sambil mengalirkan air mata. Pesanan daripada Dr Farah tadi akan sentiasa diingat. Kandunganku perlu dijaga dengan rapi sekali, tidak boleh melakukan kerja berat kerana ia akan memberi kesan buruk kepada aku dan kandunganku.
Ternyata berita ini cepat sahaja merebak dalam kalangan ahli keluarga. Saudara-mara Aina amat gembira mendengar dirinya mengandung walaupun pada awalnya perkara tersebut amat menjadi terlalu mustahil dalam hidupnya. Berbeza pula dengan ibu mentuanya. Bersungguh-sungguh Armand menyatakan bahawa mama dan papanya akan memperoleh cucu dari rahimnya tetapi ia tidak juga mampu melenturkan hati ibu mentuanya. Aina sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk mengambil hati ibu mentuanya itu tapi dia yakin dengan hadirnya anak yang bakal dilahirkan, ia mampu mengubah semua ketengangan tersebut.
***************************************************************************
“Sayang sihat hari ni? Macam mana dengan mama?” soal Armand sambil mengusap perutku yang sudah nampak bulat. Aina yang sedang membaca majalah kesihatan di atas katil berasa geli dengan tindakan suaminya tetapi dibiarkan saja.
“Aina sihat bang. Lagipun tak banyak kerja yang Aina lakukan hari ni. Semua kerja rumah Mak Jah yang buat. Aina nak tolong tapi badan Aina cepat sangat rasa letih. Kadang-kadang kasihan Aina tengok Mak Jah buat kerja sendirian. Mama abang macam tu lah. Selalu marah Aina. Tapi abang jangan risau. InsyaAllah, berkat kesabaran Aina dan anak ni, mama mesti dapat terima Aina” jawabku sambil meyakinkan Armand.
“Terima kasih sayang. Abang pun berharap mama berubah. Lagipun Erin tu dah nak kahwin. Takkan mama ada hati lagi nak satukan abang dengan dia. Sayang dengan anak yang bakal lahir ni pun dah cukup bahagiakan abang. Selamat malam sayang,” ucap Armand lantas memberikan kucupan hangat didahiku.
***************************************************************************
“Jah... oh Jah… tolong aku ni… Jah !” laung Pn Fatimah dari tingkat atas.
“Mama. Ya Allah, kenapa ni? Macam mana mama boleh jatuh?” Aina yang kebetulan ingin menghantar sarapan kepada mamanya terus berlari ke tingkat atas sehingga terlupa dengan kandungannya. Mujur dia tidak tergelincir kerana terpijak cecair berwarna kekuningan di atas lantai.
“Keluar kau ! Jah… oh Jah…” panggil mama lagi.
“Mak Jah cuti hari ni mama. Anak dia tidak sihat. Bukankah mama yang memberinya cuti semalam. Takpe lah kalau mama tak nak Aina tolong mama. Lagipun Aina hanya ingin menghantar sarapan ini je. Betul ni mama tak nak Aina tolong? Selesa ke mama nak makan dalam keadaan busuk macam tu? Nanti makin sakit pulak. Takpe lah. Aina letak sarapan ni atas meja. Jangan lupa makan,” balasku sambil berpura-pura ingin berlalu pergi. Kesian Aina melihat mamanya itu. Keadaannya tidak pernah berubah. Marahnya padaku masih lagi menggunung. Isya yang tidak bersalah itu pun turut dimarahnya. Kata mamanya, dia tidak mahu menerima hakikat bahawa cucunya mengalami sindrom down. Sejak hari itu, Isya tidak berani lagi untuk menjejakkan kaki ke rumah tersebut. Aina berpaling semula ke arah bilik apabila melihat mamanya bersusah payah untuk membetulkan kedudukannya yang terjelepuk di atas lantai. Aina hanya memekakkan telinga apabila mamanya sudah mula memaki hamun. Aina tidak peduli. Yang penting tubuh mamanya perlu dibersihkan. Selepas membetulkan kedudukan mamanya di atas katil, Aina menyuapkan pula sarapan yang telah dibawanya tadi. Aina tersenyum di dalam hati apabila mamanya tidak menolak walaupun riak wajahnya agak masam selepas dipaksa untuk membersihkan diri sebentar tadi.
“Mama, mama… Macam budak kecil,” getus Aina sambil tersengih.
“Terima kasih,” ucap mama ketika Aina berlalu keluar dari bilik.
“Sama-sama, mama. Memang tanggungjawab Aina untuk menjaga mama.”
“Berapa bulan sudah kandungan kau tu?” soal mama.
“Dah masuk 7 bulan mama,” jawabku sambil mengusap perut. Aku sedar mama mencuri-curi pandang perutku ketika aku menyuapkannya sarapan sebentar tadi. Sekurang-kurangnya, mamanya masih ingin mengambil tahu keadaan cucu yang bakal dilahirkan nanti.
“Abang, abang nak tahu tak? Tadi buat pertama kali mama tanya tentang kandungan Aina,” beritahuku sejurus melihat Armand keluar dari bilik air selepas membersihkan diri. Aina seakan tidak sabar untuk memberitahu suaminya perihal mamanya pagi tadi.
“Betul? Alhamdulillah. Abang tahu, mama tu tidaklah keras sangat hatinya. Mungkin dia masih malu dengan Aina sebab Aina banyak bertahan melayan kerenahnya. Tidak sia-sia lah abang dengan papa serahkan tanggungjawab untuk menjaga mama pada Aina. Tapi Aina pun kena jaga juga kandungan Aina ni ya. Kita hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi. Abang yakin Allah akan balas segala usaha yang telah kita lakukan,” jawab Armand sambil tersenyum.
***************************************************************************
“Aduh,” tiba-tiba Aina berasa sakit di bahagian perutnya ketika dia sedang mengemas ruang tamu rumah.
“Ahh, mungkin sebab penat melakukan kerja rumah barangkali,” bisik Aina perlahan sambil menyambung kembali tugasnya. Namun kesakitan itu semakin lama semakin berlarutan dan akhirnya Aina terbujur kaku di ruang tamu.
“Alhamdulillah En. Armand. Tahniah. Isteri dan bayi lelaki encik selamat. Encik boleh masuk melihat isteri dan bayi tetapi jangan terlalu lama sebab isteri encik masih lemah. Dia perlukan rehat,” pesan Dr Sakina sambil menguntum senyuman.
“Sayang, syukur Alhamdulillah. Kita dapat bayi lelaki. Comel sangat. Thanks sayang,” ucap Armand lembut sambil mengucup tangan isterinya.
“Macam mana sayang boleh terbaring dekat ruang tamu? Abang dah pesan, sayang kena banyak berehat. Sayang ni kalau dah buat kerja sampai terlupa bayi dalam perut tu. Nasib baik mama nampak. Mama yang menyuruh Mak Jah untuk telefon abang,” sambung Armand lagi mengingatkan. Aina hanya membalas dengan senyuman. Pada masa yang sama, Aina seakan menyedeari bahawa ada sepasang mata seolah-olah memerhati dirinya di sebalik pintu.
“Mama, kenapa berada di luar, marilah masuk, lihat cucu mama. Mama tak sudi ke nak tengok cucu mama ni?” pelawaku sambil mengusap kepala bayi comel ini.
“Maafkan mama Aina. Mama banyak dosa terhadap Aina. Memang patut mama terima hukuman sebegini. Kenapa mama susah untuk terima Aina dulu? Kenapa mama tak nampak kebaikan Aina untuk mama selama ini? Hanya disebabkan lambat memberikan cucu, mama layan Aina macam sampah. Maafkan mama Aina,” rayu mama teresak-esak.
“Mama, mama tak salah. Aina dah maafkan semuanya mama. Aina percaya, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Buktinya, mama telah mula menerima Aina sebagai sebahagian daripada keluarga mama. Sudahlah mama, jangan menangis. Tak comel tau menangis macam ni,” pujukku sambil mengesat air mata mama yang laju mengalir.
Tiba-tiba pintu dikuak. Kelibat Isya kelihatan diikuti suami dan anaknya. Perlahan-lahan Isya mendekati mamanya.
“Maafkan Isya, mama. Isya tak patut tinggalkan mama,” pinta Isya lantas memeluk erat mamanya.
“Mama pun sama Isya. Tak patut mama menghina anak kamu. Maafkan mama. Mama sayang semua anak mama, menantu mama, cucu mama. Jangan tinggalkan mama lagi,” balas Pn Fatimah sambil mencium Isya dan anaknya.
Semua yang berada di dalam wad turut mengalirkan air mata melihat drama yang berlaku. Armand, papa dan suami Isya tersenyum gembira melihat perubahan yang ditunjukkan Pn Fatimah. Aina berasa amat gembira dengan segala yang telah berlaku. Dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah Taala. Alhamdulillah, berkat kesabarannya selama ini terbalas jua. Sudah lama dia ingin merasa suasana kekeluargaan seperti ini memandangkan dia sendiri merupakan anak yatim yang sentiasa dahagakan kasih sayang daripada ibu dan ayahnya. Serta merta air matanya mengalir.
“Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Ibu buat Puan Fatimah, Aina dan Isya, Selamat Hari Ibu.” Kedengaran suara beberapa orang jururawat menyanyikan lagu Selamat Hari Ibu sambil menyorong sebiji kek yang turut dihiasi dengan lilin. Semua yang berada di dalam wad itu terkejut. Masing-masing lupa bahawa hari itu merupakan Hari Ibu. Hanya Armand yang tersenyum sendirian. Rancangannya menjadi.
“Terima kasih, sayang. Terima kasih untuk segalanya. Terima kasih sebab berikan kebahagiaan kepada abang dan juga keluarga abang dan paling penting, terima kasih kerana sudi melahirkan zuriat abang. I love you so much, dear!” bisik Armand perlahan.
Menitis air mataku mendengar ungkapan ikhlas suaminya. Tangan suaminya digenggam erat.
“Terima kasih juga sebab sudi jadikan Aina isteri abang,” balas Aina sambil mengusap bayinya. Matanya gembira melihat ahli keluarganya yang lain sedang sibuk menyuap kek antara satu sama lain. Terpancar sinar kegembiraan di wajah masing-masing. Syukur Alhamdulillah Ya Allah. Terima kasih kerana mengurniakan aku anugerah yang tidak ternilai ini.
ehem.. ehem.. ok tk cerpen yg WS karang nii...?? actually, dis is for my PENULISAN KREATIF subject... we all have to create a short story.. enjoy ur reading keyh... pliz gve me ur comment too... thankz you...
No comments:
Post a Comment